Wang kertas Sejarah_wang

Wang kertas diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan wang logam yang berat untuk menjalankan urusniaga. Wang kertas pada mulanya dalam bentuk satu resit yang digunakan sebagai bukti simpanan emas dan perak dengan tukang emas. Resit ini secara tidak langsung memberitahu bahawa ia boleh ditukarkan kepada duit syiling emas dan perak yang sebenar.

Piawaian Emas (1880-1914)

Sistem kewangan yang digunakan kira-kira pada tahun 1880 hingga tercetusnya Perang Dunia I dikenali sebagai Gold Standard atau piawaian emas. Ciri utamanya ialah ia merupakan sistem kadar pertukaran tetap yang nilai paritinya ditetapkan berdasarkan kepada nilai emas.

Melalui sistem ini, emas diperlukan hanya sebagai aset rizab. Wang kertas boleh ditukarkan kepada emas di bank pengeluar pada nisbah tertentu.

Tempoh antara peperangan (1918-1939)

Ketika meletusnya Perang Dunia I, keperluan kewangan menjadi amat besar dan hanya dapat dipenuhi dengan pengeluaran lebih banyak wang. Bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini kepada pasaran domestik, kebanyakan negara membatalkan peraturan piawaian emas. Pada 1933 hanya lima negara yang dikenali Gold Bloc (Perancis, Belgium, Belanda, Itali dan Switzerland) masih mengamalkan piawaian emas. Namun pada 1936 sistem ini berakhir apabila berlaku penurunan nilai matawang Perancis dan Switzerland.